PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menitipkan doa agar seorang pelajar Tingkatan Satu di Kulim yang cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusannya.
Radzi berkata, berdasarkan maklumat polis, pelajar berkenaan cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah sekolah di Kulim.
“Sama-sama kita doakan anak ini diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika waktu rehat.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada guru lelaki berusia 48 tahun mengenai penemuan pelajar dalam keadaan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.






