KUANTAN: Pengusaha ladang sawit kerugian RM290,988 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang kripto palsu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 51 tahun itu terpedaya selepas merima mesej nombor telefon tidak dikenali melalui WhatsApp yang menawarkan peluang menyertai pelaburan mata wang kripto pada 3 November lalu.
"Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum ditawarkan menyertai urus niaga pelaburan terbabit. Pada peringkat awal, mangsa membuat transaksi berjumlah RM452 dan kemudiannya menerima pulangan RM583 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank milik mangsa.
"Pemberian pulangan awal itu dipercayai meningkatkan keyakinan mangsa terhadap pelaburan itu sehingga mendorong mangsa melakukan transaksi wang secara berperingkat kepada tiga akaun bank penerima membabitkan akaun individu dan akaun syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.









