KUANTAN: Seorang pengusaha ladang sawit di sini kerugian RM290,988 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang kripto melalui aplikasi WhatsApp.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pada 3 Nov lepas, lelaki berusia 51 tahun itu menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan peluang menyertai pelaburan kripto di sebuah platform dalam talian.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum ditawarkan untuk menyertai urus niaga pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa pada peringkat awal membuat transaksi RM452 dan kemudiannya menerima pulangan sebanyak RM583 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank miliknya.