NIBONG TEBAL: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata pihaknya akan berbuat demikian sebaik mereka mahu mendapatkan bantuan berkenaan.
"Kita sangat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terbabit. Kita berharap keluarga dapat menerima ujian ini dengan tabah.
"Sama-sama kita doakan mereka diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat MADANI di Masjid Al Fatah, Sungai Acheh, di sini hari ini.
Che Murad berkata, JKM mempunyai kaunselor yang sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa sekiranya diperlukan.









