DOHA: Malaysia mencadangkan penubuhan koridor digital rentas sempadan bagi membantu usaha pembangunan semula Palestin, termasuk Gaza, Ramallah dan Tebing Barat pascakonflik.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu bertujuan membuka ruang kepada negara-negara peserta untuk menyumbang kepakaran dan memperkukuh kerjasama dalam bidang kesalinghubungan serta ekonomi digital bagi membantu Palestin.
Beliau berkata, cadangan itu tercetus susulan perbincangan dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi mengenai cabaran yang dihadapi negara berkenaan, khususnya dalam membangunkan semula kawasan terjejas akibat konflik.
“Kita berbincang mengenai cabaran yang dihadapi di Palestin, khususnya selepas konflik, antaranya pembangunan semula bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Ramallah dan Tebing Barat.








