Isu gelandangan di Kuala Lumpur bukan fenomena baharu, sebaliknya masalah sosial berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian tuntas walaupun operasi menyelamat, pusat transit dan program kebajikan diwujudkan. Malah, ada ketikanya golongan ini seolah-olah hanya mendapat 'perhatian' apabila ibu kota mahu menjadi tuan rumah acara antarabangsa.

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 misalnya, operasi bersepadu dilaksanakan dengan 101 gelandangan diselamatkan dalam satu operasi, antara lain memastikan persekitaran kondusif dan memelihara imej negara. Namun, apakah akan berlaku selepas operasi berakhir dan sejauh mana bantuan diberikan berjaya menghalang mereka kembali ke jalanan?

Laporan Khas BH mengenai gelandangan di sekitar Chow Kit, Jalan Masjid India dan Pasar Seni semalam, mendedahkan realiti menyedihkan di sebalik kemegahan pembangunan ibu kota. Ada warga emas menjadikan kaki lima sebagai kediaman akibat konflik keluarga, manakala golongan muda terperangkap dalam kehidupan jalanan selepas gagal memperoleh pekerjaan dan pendapatan tetap.