Malam tadi, secara rasmi Najib Razak mula menjalani tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah baharu yang membenarkan bekas perdana menteri itu menghabiskan baki hukuman penjaranya di kediaman sendiri di Langgak Duta.
Dengan itu, berakhirlah polemik ‘pelepasan’ Najib selepas beberapa hari kedudukan perintah pengampunan bersyarat tersebut menjadi pertikaian, seusai denda RM50 juta dilunaskan.
Bagi Najib dan keluarganya, keputusan itu pasti satu kelegaan. Selepas lebih empat tahun meringkuk di Penjara Kajang, bekas presiden Umno itu kini perlu menghabiskan baki hukuman kes SRC International di kediaman sendiri sehingga 23 Ogos 2028.
Tidak ada sebab untuk menafikan kelegaan yang dirasai keluarganya. Najib juga mempunyai hak di sisi undang-undang seperti individu lain. Hakikat yang beliau pernah menjadi perdana menteri tidak sepatutnya menyebabkan hak tersebut dinafikan.








