JAKARTA: Kerajaan Indonesia meningkatkan usaha dengan bantuan penduduk kampung untuk membasahkan semula tanah gambut, membaiki sekatan terusan dan menanam semula tumbuh-tumbuhan bagi memulihkan ekosistem gambut yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah baru-baru ini, selain mengurangkan risiko kebakaran pada masa hadapan.

Ketua Badan Pengurusan Gambut dan Bakau Kebangsaan (BPGMN), Satyawan Pudyatmoko berkata, pemulihan tahap kelembapan tanah penting bagi mencegah kebakaran kerana gambut yang kering mudah terbakar.

“Salah satu cara memulihkan ekosistem gambut supaya dapat berfungsi dengan baik adalah melalui proses membasahkan semula tanah,” katanya kepada pemberita di Jakarta pada Isnin.

Beliau menjelaskan, proses itu melibatkan pembinaan sekatan terusan, penyaluran air dari sungai ke kawasan gambut yang terjejas serta penanaman tumbuh-tumbuhan bagi melindungi permukaan tanah daripada pancaran matahari secara langsung.