MELAKA – Polis Melaka menahan 11 warga Thailand dalam serbuan di sebuah premis yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian, di Taman Kota Shahbandar di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun itu, ditahan dalam serbuan kira-kira 10.10 malam.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak awal Oktober lepas dan sindiket menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai agensi penguat kuasa undang-undang, yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.










