KUALA TERENGGANU: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu memberi impak positif kepada rakyat Terengganu dalam menjana pendapatan menerusi sektor perniagaan, pengangkutan barangan dan pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kemudahan itu jika dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha dan pemain industri di negeri ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Menurutnya, jaringan pengangkutan baharu itu perlu disusuli perancangan strategik bagi memastikan kemudahannya digunakan secara optimum, khususnya dalam memudahkan pergerakan barangan dan keperluan perniagaan.

Beliau berkata, kemudahan pengangkutan sekiranya tidak dimanfaatkan sebaiknya tidak akan menjamin pulangan ekonomi kepada rakyat.