KUALA LUMPUR: Proton e.MAS mencatat jualan sebanyak 35,730 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, meningkat ketara berbanding 9,549 unit yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34,629 unit disumbangkan pasaran domestik, manakala pasaran eksport menyumbang 1,101 unit, meningkat kira-kira 67 peratus berbanding 659 unit sepanjang 2025.

Berdasarkan data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton e.MAS turut menguasai 47.3 peratus pasaran kenderaan elektrik bateri (BEV) Malaysia bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Model e.MAS 5 menjadi penyumbang terbesar dengan jualan 22,589 unit, diikuti e.MAS 7 PHEV sebanyak 6,957 unit dan e.MAS 7 sebanyak 5,083 unit.