MEMBESARKAN anak yang berdepan cabaran kesihatan, perkembangan atau ketidakupayaan, bukan sekadar menuntut kesabaran dan pengorbanan, malah memerlukan kekuatan luar biasa.

Bagi ibu yang melalui pengalaman itu, setiap hari hadir dengan kebimbangan dan harapan silih berganti.

Di sebalik rutin mengurus rawatan, terapi serta keperluan anak, tersimpan keletihan yang jarang diluahkan dan doa tidak pernah putus.

Namun, kasih ibu sering menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah. Setiap kemajuan kecil anak diraikan manakala cabaran dihadapi ditempuh dengan harapan bahawa masa depan yang lebih baik tetap menanti.