SHAH ALAM - Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) merayu supaya Elaun Tugas Pengurusan Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 kepada Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) dikekalkan bagi mengelakkan kebajikan golongan pendidik itu terjejas susulan perubahan kategori gred sekolah.Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat berkata, perubahan kategori sekolah daripada Gred A kepada Gred B atau C tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghentikan pembayaran elaun berkenaan memandangkan tanggungjawab dan skop tugas GKMP pada asasnya masih sama.Menurutnya, tugas mengurus, menyelaras serta memastikan keberkesanan pelaksanaan kurikulum dan pengurusan akademik sekolah tetap perlu dilaksanakan tanpa mengira kategori gred sekolah."Perubahan kategori sekolah tidak semestinya mengurangkan tanggungjawab, komitmen dan beban tugas yang perlu dipikul oleh mereka."Justeru, pemberian elaun sewajarnya mengambil kira skop tugas, tanggungjawab dan beban kerja sebenar, bukan hanya berdasarkan kategori gred sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Sehubungan itu, beliau berkata, KONGRES menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengemukakan rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 13 Ogos lalu bagi menangani isu pembayaran elaun yang melibatkan guru terkesan.Katanya, langkah itu mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan KPM dalam memperjuangkan kebajikan warga pendidik serta mencari penyelesaian terhadap implikasi perubahan gred sekolah."KONGRES merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas usaha KPM mengambil langkah berkenaan demi memastikan kebajikan guru terus diberikan perhatian," katanya.Mohamad Zapawi berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, seramai 1,356 guru dijangka menerima bayaran tunggakan, manakala 2,504 guru yang dikenal pasti perlu membuat bayaran balik diharap diberikan pertimbangan sewajarnya menerusi perbincangan bersama pihak berkaitan.Jelasnya, KONGRES berpandangan isu berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh, adil dan berhemah bagi mengelakkan guru menanggung kesan perubahan dasar yang berada di luar kawalan mereka.Tambahnya, KONGRES turut menyokong usaha supaya KPM dan JPA meneliti semula mekanisme pembayaran ETPS agar pelaksanaannya lebih adil, munasabah dan tidak mewujudkan jurang layanan antara guru yang melaksanakan tanggungjawab serta fungsi jawatan yang sama."Kebajikan guru tidak wajar terjejas hanya disebabkan perubahan kategori sekolah yang berada di luar kawalan mereka."KONGRES berharap rayuan yang dikemukakan KPM dapat diberikan pertimbangan sewajarnya oleh JPA demi memastikan penyelesaian yang adil kepada semua guru terlibat."Sebarang perubahan dasar yang memberikan kesan kepada pendapatan dan kebajikan penjawat awam perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kepentingan pegawai yang sedang menjalankan tugas," ujarnya.Justeru, KONGRES mencadangkan supaya mekanisme peralihan yang bersesuaian diwujudkan, termasuk mempertimbangkan pengekalan elaun bagi tempoh tertentu kepada pegawa