ALOR SETAR: Anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor cedera selepas terbabit kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata mangsa berusia 20 tahun yang juga pelajar Kolej Islam Darul Ulum Pokok Sena cedera pada muka dan tangan kiri, serta disyaki mengalami patah pergelangan tangan kanan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang tadi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala Alor Setar.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ditunggangnya sehingga menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan malam ini.