ALOR GAJAH - Malaysia kini mendapat penghormatan dan dipandang positif oleh masyarakat antarabangsa, susulan kedudukan serta peranan negara yang semakin mendapat perhatian di pentas global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penghormatan itu bukan diberikan kepada dirinya, barisan menteri atau wakil parti politik tertentu, sebaliknya kepada Malaysia sebagai sebuah negara."Hal ini bukan soal Anwar, bukan menteri-menteri kita atau wakil-wakil parti, tetapi hormat orang kepada Malaysia sekarang cukup baik, alhamdulillah," kata beliau ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Taman Melaka Perdana, di sini malam Khamis.Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, penghormatan tersebut dicerminkan menerusi jadual lawatan rasmi pemimpin luar ke Malaysia dan mesyuarat antarabangsa padat yang akan dihadirinya dalam tempoh terdekat termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Manila, Filipina."Lepas dua hari, balik (semula ke Malaysia) kerana Presiden Perancis Emmanuel Macron datang ke Kuala Lumpur … kemudian sambung semula ke Manila untuk pertemuan pemimpin ASEAN termasuk dengan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump," kata beliau.Anwar berkata, beliau kemudiannya turut dijadualkan menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping.AKAN MENYUSUL