BERBEKALKAN keberanian mengambil tanggungjawab kewangan pada usia muda, bekas pramugara, Danial Anas Aizat Ahmad Samhan, 21, membuktikan usia bukan penghalang untuk membina aset apabila berjaya memiliki rumah pertama bernilai hampir RM700,000 di Kota Warisan, Sepang, Selangor.
Anak bongsu daripada dua beradik itu menganggap keputusan membeli rumah ketika usia masih muda sebagai langkah awal untuk membina aset dan memiliki harta sendiri.
Menurutnya yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam keputusan itu dibuat selepas memikirkan lebihan wang yang dimiliki lebih baik dimanfaatkan untuk mendapatkan aset berbanding membiarkannya tanpa perancangan jangka panjang.
"Apabila kita ada duit lebih, lebih baik memilih untuk mempunyai aset dan harta sendiri walaupun masih muda kerana lebih mudah untuk kita melakukan apa sahaja apabila mempunyai rumah sendiri," katanya.









