PETALING JAYA – Ketika ibu bapa calon Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) mempertikaikan tahap kesukaran kertas Bahasa Inggeris, hari ini, ada juga yang ‘kecoh’ mempersoalkan soalan Bahasa Melayu.

Seorang wanita membangkitkan persoalan mengapa murid berusia 10 tahun perlu berfikir mengenai cara mengubah nasib keluarga menerusi salah satu soalan yang diberikan.

“Ibu bapa MPT4 bising fasal kertas BI, tapi tak ada siapa komen tentang soalan BM, ‘Cara mengubah nasib keluarga’ tu ke? Suruh budak 10 tahun berfikir macam tu…,” luah individu berkenaan di media sosial.

Persoalan itu kemudian mendapat perhatian netizen, terutamanya golongan ibu bapa yang turut mempertikaikan soalan berkenaan.

Namun, ada juga yang menyokong, selain turut berkongsikan jawapan diberikan anak masing-masing.