PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan dan diteruskan dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) kesinambungan perancangan pembangunan negara di negeri itu dapat diteruskan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Melaka sebelum ini dicadangkan menjadi lokasi sebuah stesen utama bagi projek Laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dengan kawasan Ayer Keroh dikenal pasti sebagai lokasi pembinaannya.

Katanya, bagaimanapun projek berkenaan antara perancangan pembangunan yang tidak menjadi kenyataan susulan perubahan landskap politik negara.

“Dahulunya kita sudah merancang dalam satu daripada agenda penting untuk mengadakan laluan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura. Melaka adalah stesen yang paling besar dalam perancangan asal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.