KUALA LUMPUR: Pembangunan pelabuhan Pulau Carey dan Midport tidak akan menjejaskan kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kerana setiap pelabuhan mempunyai pengkhususan dan konsep pembangunan berlainan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, fasa pertama pembangunan pelabuhan Pulau Carey lebih membabitkan kargo am atau kargo pukal, manakala pengendalian kontena akan masuk dalam fasa kedua dan ketiga apabila pertumbuhan lebih besar serta permintaan lebih tinggi.
"Jadi tidak ada soal (tidak timbul isu) bahawa pembangunan Pulau Carey itu akan menjejaskan PTP, apatah lagi Midport," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai mekanisme mengelakkan persaingan harga antara pelabuhan serta jaminan pembangunan Pulau Carey dan Midport tidak menjejaskan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kapal utama negara.









