JOHANNESBURG: Mohamed Salah meledak dua gol ketika Mesir membelasah Malawi 5-0 pada aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi tadi, sekali gus muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan koleksi 70 gol.

Bekas bintang Liverpool berusia 34 tahun itu terpaksa menunggu sehingga penghujung perlawanan di Kaherah untuk memintas rekod Hossam Hassan apabila meledak gol menerusi tandukan pada minit ke-84 sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima masa kecederaan.

Hassan dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Mesir minggu lalu dan penggantinya, Ali Maher, memulakan tugas dengan sempurna apabila Nasser Maher, Omar Marmoush dan Mohamed Hany masing-masing menyumbat gol untuk meletakkan Mesir selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.