PUTRAJAYA - Pendidikan menjadi antara jalan penting untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mengubah taraf sosioekonomi menerusi peluang melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan lebih baik.Atas matlamat itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) meneruskan Projek Pembangunan Modul Kecemerlangan Pendidikan SPM yang diperkenalkan sejak 2016 bagi membantu pelajar B40 membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, bantuan modul itu bukan sekadar menyediakan bahan ulang kaji, sebaliknya bertujuan meningkatkan peluang pendidikan dan kehidupan pelajar serta keluarga mereka.Menurutnya, keputusan SPM yang baik mampu membuka ruang lebih luas untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan mendapatkan pekerjaan lebih baik."Kalau pelajar dapat keputusan baik, banyaklah peluang untuk masuk universiti dan seterusnya mendapat peluang pekerjaan yang baik."Jadi, itu akan mengubah sosioekonomi beliau dan juga keluarga. Kita nak bantu mereka bermula daripada pendidikan supaya akhirnya sosioekonomi mereka meningkat," katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian di pejabatnya, di sini baru-baru ini.Mengulas pelaksanaan program itu, Zabidi berkata, YAPEIM pada awalnya menyediakan modul bagi dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah sebelum menambah Matematik serta Bahasa Inggeris bermula tahun ini.Katanya, penambahan itu dibuat susulan kajian mendapati penguasaan kedua-dua subjek berkenaan, khususnya dalam kalangan pelajar di kawasan pedalaman, masih rendah."Kajian YAPEIM terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dan juga Matematik dalam kalangan pelajar terutama di pedalaman mendapati ia agak rendah. Jadi, kami putuskan untuk memilih dua subjek tambahan buat masa ini," jelasnya.Beliau berkata, sebanyak 400,000 modul bagi empat mata pelajaran itu dicetak untuk diagihkan kepada pelajar B40 menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan 145 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.Menurutnya, modul berkenaan dibangunkan dengan penglibatan guru pakar, termasuk sebahagian yang berpengalaman sebagai pemeriksa kertas SPM.Selain modul bercetak, YAPEIM turut menyediakan bimbingan guru pakar secara dalam talian menerusi YouTube dan Facebook bagi membantu pelajar memahami kandungan pembelajaran.Zabidi berkata, bahan bercetak masih dikekalkan kerana sebahagian pelajar, khususnya di pedalaman, berdepan kekangan akses internet dan kemudahan mencetak bahan digital.Beliau berkata, kajian keberkesanan pada 2025 turut menerima maklum balas positif pihak sekolah terhadap penggunaan modul itu.Bagaimanapun, YAPEIM mahu memperkukuh kajian impak bagi menilai perkembangan penerima selepas tamat persekolahan, selain merancang mem- perluaskan akses menerusi e-buku, bimbingan tambahan dan kerjasama dengan agensi lain.