HAMPIR setiap petang di Melaka sekarang hujan. Bagi penduduk di kawasan rendah dan sering dinaiki air sama ada di Durian Tunggal, Bukit Rambai, Tanjung Minyak atau di pesisir Sungai Duyong, kerisauan saban senja adalah apabila hujan turun tak henti-henti hingga ke malam dan longkang besar mulai penuh.Musim hujan hujung tahun yang ditandai kehadiran angin monsun dari arah Timur Laut ini dulunya hanya merisaukan warga Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu. Namun kini penduduk negeri pantai barat termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor turut merasai suasana ‘pesta air’ saban hujung tahun itu.Kerisauan juga ‘pesta’ dari Pantai Timur ke Pantai Barat itu bergerak seperti gelombang. Seperti kehadiran musim, ia tidak dapat dihalang. Di Melaka pada ketika ini, hujan saban petang barangkali mula menukarkan keresahan seorang pekerja pejabat yang terperangkap kesesakan jalan raya sehingga sampai lewat ke rumah, kepada satu kebiasaan dan norma.Seorang ibu yang risau kasut dan baju sekolah anaknya tidak sempat kering di jemuran juga mungkin terbiasa dan mula memikirkan cara lain menyediakan persalinan lengkap anaknya keesokan hari.Uniknya sekarang bukan gelombang ini sahaja yang ada di sini. Serentak, fenomena El Nino yang muncul awal November memanaskan bumi Melaka ketika hujan tidak turun. Seawal jam 9 pagi lagi hangatnya sudah terasa mencucuk kulit sehingga anda berasa tidak mahu keluar.Namun bagi wartawan seperti kami, hujan atau panas tidak boleh jadi alasan tidak keluar mencari berita. Kempen pilihan raya negeri (PRN) tetap berjalan tanpa menunggu cuaca cerah atau redup.Cuma yang kadangkala jadi kerisauan kita bukanlah cuaca. Atau musim tak kiralah El Nino atau Monsun Timur Laut. Yang jadi perhatian ialah perubahan sikap dan kecenderungan ahli politik yang lebih sukar dijangka daripada rawaknya pertukaran hujan dan panas.Di Melaka seperti juga di Negeri Sembilan sebelum ini, perubahan ini berlaku seperti selang-seli hujan dan panas yang digilirkan Monsun Timur Laut dan El Nino. Panas sebelah pagi, hujan sebelah petang.Melaka selepas PRN 2021 adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang punya majoriti lebih dua pertiga, malah 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pecahan terkecilnya adalah tiga perempat.Buat seketika Pakatan Harapan (PH) mengetuai blok pembangkang sebelum Adly Zahari dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH lain menerima undangan BN menyertai kerajaan atas semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cukup indah pujangga Melayu tidak bernama ratusan tahun dulu menggambarkan situasi sosial dengan alam. Sekira-kira ini yang berlaku kepada PH Melaka selepas tidak lagi diperlukan BN sebagai rakan kerjasama dalam kempen PRN 2026.Pas hadir ke Melaka seperti Monsun Timur Laut yang lama mengesankan negeri Pantai Timur. Apabila ia tiba, gelombangnya tidak boleh dihalang. Sepanas-panas El Nino yang merekahkan tanah, apabila h