KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan mata wang negara maju itu terus menerima sokongan kukuh susulan jangkaan kenaikan kadar faedah yang selanjutnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS dijangka mengekalkan kekuatannya dalam keadaan pendirian dasar monetari Fed yang berkecenderungan untuk menaikkan kadar faedah.

"Sentimen pelabur terus memihak kepada dolar AS di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang ketara oleh Fed pada Disember.

"Penggiat pasaran juga akan memantau dengan teliti pengeluaran data jualan runcit AS bagi Oktober pada 17 November, dengan anggaran konsensus menunjukkan kenaikan 0.2 peratus bulan ke bulan daripada 0.8 peratus pada September," katanya kepada Bernama.