PETALING JAYA – Kegiatan mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran di Stesen MRT Maluri terus berulang apabila individu yang didakwa terbabit dilihat kembali menjalankan aktiviti itu meskipun kawasan berkenaan diserbu pihak berkuasa semalam.

Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu terbabit kembali mengutip wang daripada pengguna tempat letak kereta di kawasan berkenaan pagi ini.

Malah, dia turut memaklumkan telah membuka laluan di kawasan parkir berkenaan selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak terbabit.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut mempersoalkan tindakan individu berkenaan yang seolah-olah tidak gentar meskipun pihak berkuasa telah melakukan serbuan.