MANILA: ASEAN perlu menyokong pelan integrasi ekonominya dengan menetapkan sasaran pencapaian jelas dan memastikan pelaksanaan konsisten bagi memberi manfaat kepada perniagaan, pengguna serta pekerja, kata Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina, Cristina Roque.
Beliau berkata, Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 memerlukan penyelarasan berkesan, manakala hasil ekonomi keutamaan masih belum dicapai bawah kepengerusian Filipina perlu disempurnakan dan usaha berkaitan diteruskan selepas tahun ini.
"Ukuran sebenar kejayaan pelan ini bukanlah pada jumlah komitmen yang kita buat, tetapi nilai tambah yang diberikan kepada setiap perniagaan, pengguna, pekerja dan komuniti.
"Matlamat usaha kita ialah memastikan integrasi ekonomi membawa makna dalam kehidupan rakyat. Setiap komitmen yang kita usahakan seharusnya membantu mencipta peluang, memperkukuhkan mata pencarian, dan membina keyakinan terhadap masa depan bersama," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Majlis AEC Ke-28, di sini, hari ini.









