Serdang: Bukan satu, bukan dua, sebaliknya tiga pasangan kembar mencuri tumpuan apabila masing-masing membawa semangat adik-beradik ke gelanggang Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Keunikan itu menyaksikan enam pemain daripada tiga pasukan berbeza berkongsi satu keistimewaan apabila bukan sahaja mempunyai wajah hampir serupa, malah turut berkongsi minat dan kecintaan terhadap sukan sepak takraw.
Pasangan pertama membarisi KST Naga Rimba menerusi Amar Syafiq Mohd Fazil, 14, dan kembarnya, Mohd Amar Haziq Mohd Fazil yang menjadikan kejohanan itu medan menguji kemampuan masing-masing.
Amar Syafiq berkata, peluang beraksi bersama kembarnya memberikan pengalaman cukup berharga kerana mereka bukan sahaja dapat berlatih bersama, malah saling bersaing untuk meningkatkan kemahiran.










