PETALING JAYA – Taktik seorang warga asing yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di bawah katil gagal apabila dia dicekup penguat kuasa dalam operasi besar-besaran di sekitar Selangor, semalam.
Jabatan Imigresen (JIM) Selangor berkata, serbuan bermula pukul 11 pagi itu dilaksanakan melibatkan tiga lokasi berasingan iaitu di sekitar Kampung Baru Subang, Ampang dan Hulu Langat menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Kutip.
Menerusi klip video operasi yang dikongsikan di TikTok rasmi JIM Selangor, beberapa warga asing dilihat terpaksa keluar dari ruang sempit termasuk bawah katil selepas tempat persembunyian mereka berjaya dikesan pegawai penguat kuasa.
JIM Selangor memaklumkan, seramai 18 pegawai telah digerakkan dalam operasi tersebut dengan memeriksa seramai 38 individu sebelum menahan 34 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.










