Lumut: Siasatan berhubung dakwaan Malaysia menjadi hab transit untuk eksport semula cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi sudah dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal April 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta Perdagangan Strategik (APS) 2010), dengan PDRM turut serta dalam Jawatankuasa Bertindak Perdagangan Strategik (STAC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, sebarang penemuan terbaharu dalam siasatan polis mengenainya, terus dikemas kini kepada MITI selaku agensi peneraju (lead agency) memandangkan aduan berkaitan eksport cip AI itu disampaikan oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) kepada MITI.