Bangi: TNB Thunderstar tetap menutup kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 dengan senyuman apabila dinobatkan juara liga meskipun tewas 1-2 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Thunderstar gagal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, namun keputusan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak liga dengan 31 mata.

Sebaliknya, kemenangan THT memastikan pasukan dari Pantai Timur itu mengesahkan kedudukan naib juara selepas mengumpul 27 mata, empat mata di belakang Thunderstar.

Thunderstar terlebih dahulu membuka jaringan menerusi ketua pasukan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi seawal minit keempat, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Firhan Ashari menyamakan kedudukan buat THT seminit kemudian.