BANGI: TNB ThunderStars tetap menutup kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 dengan senyuman apabila dinobatkan juara liga meskipun tewas 2-1 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan ThunderStars gagal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, namun keputusan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak liga dengan 31 mata.

Sebaliknya, kemenangan THT memastikan pasukan dari Pantai Timur itu mengesahkan kedudukan naib juara selepas mengumpul 27 mata, empat mata di belakang ThunderStars.

Kapten ThunderStars, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, mengakui pasukannya kurang fokus dalam aksi terakhir itu, namun tetap berbangga dengan usaha seluruh pemain sepanjang kempen musim ini.