BANGKOK: Penyanyi Filipina, Carmelle, muncul juara edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas menewaskan 10 peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung di One Bangkok Forum, di sini, malam tadi.

Penyanyi berusia 19 tahun itu meraih 211 markah menerusi lagu Sobra-Sobra sekali gus mengetepikan pencabar lain dalam pertandingan berprestij berkenaan.

Tempat kedua menjadi milik duo dari Thailand, MANG x DAOU, yang mengumpul 170 markah, manakala penyanyi Vietnam, Tóc Tiên, menduduki tangga ketiga dengan 164 markah.

Wakil Malaysia, Aina Abdul, pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas meraih 152 markah menerusi persembahan lagu Bluest Sky.