Melaka: Kejayaan DAP mempertahankan empat kubu kuatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana mencerminkan sokongan pengundi serta kedudukan signifikan parti itu di kawasan berkenaan.

Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata, keputusan di tiga kerusi baharu yang ditandingi DAP, iaitu Gadek, Pengkalan Batu dan Duyong turut menunjukkan calon parti itu berjaya mengekalkan deposit masing-masing, termasuk di kerusi yang sebelum ini diramal akan mengalami kekalahan teruk.

"Kepada para pengundi yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Setiap undi yang diberikan menjadi sumber kekuatan dan dorongan untuk kami terus berjuang," katanya pada sidang media di Pejabat DAP, di sini malam ini.