ARAU: Golongan siswazah seharusnya memanfaatkan ilmu dan kepakaran dimiliki bagi menghasilkankan penyelesaian bermanfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing negara serta memperluas perkongsian ilmu demi kemajuan bersama.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dengan memiliki ilmu tinggi, golongan berkenaan dapat memainkan peranan bagi menyumbang kembali buat bangsa dan negara.

Titahnya, dalam masa sama, golongan siswazah juga hendaklah sentiasa berpegang pada nilai-nilai murni dan prinsip yang teguh dalam setiap tindakan atau keputusan bagi mendepani dunia yang semakin dinamik.

“Negara memerlukan ge­nerasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan kemahiran malah mempunyai jati diri, disiplin serta komitmen tinggi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab diberikan,” titah baginda bersempena Istiadat Konvokesyen 21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, semalam.