BOGOTA – Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk dua kanak-kanak maut, manakala 20 lagi dikejarkan ke hospital selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik di wilayah Huila, Colombia kelmarin, lapor saluran berita The Sun UK.

Nahas di Laluan 45 itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu bas berusia 26 tahun berkenaan yang didakwa terlelap ketika memandu.

Menurut pihak berkuasa jalan raya, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Florencia di Caqueta menuju ke ibu negara, Bogota sebelum hilang kawalan di kilometer 94.5 dan terbalik di atas lebuh raya.

Pasukan kecemasan yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa yang terselamat sebelum menghantar kesemua 20 mangsa yang cedera ke beberapa hospital di sekitar wilayah Neiva untuk rawatan lanjut.