Lelaki 33 tahun ditahan di Gua Musang selepas polis merampas 2,000 pil disyaki yaba bernilai RM20,000 dalam Ops Tapis
GUA MUSANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 2,000 biji pil disyaki yaba bernilai RM20,000 dalam Ops Tapis di Rantau Manis, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata suspek berumur 33 tahun itu ditahan pada 5.30 petang ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna biru tanpa nombor pendaftaran di hadapan tandas Lapang Sasar Rantau Manis.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap motosikal itu menemukan sebuah beg plastik berwarna hitam di dalam raga sebelum pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa bungkusan plastik mengandungi 2,000 biji pil disyaki yaba dengan berat keseluruhan 200 gram.







