PASIR MAS: Ejen pemerdagangan manusia kini menawarkan khidmat 'buy now pay later' (BNPL) apabila pendatang asing tanpa izin (PATI) dibawa masuk ke Malaysia dibenar membayar khidmat selepas mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Taktik terbongkar selepas pihak berkuasa menahan 12 PATI warga Myanmar bersama seorang tekong darat warga Thailand berusia 29 tahun, di kawasan ladang sawit di Kubang Gadong, di sini, 8 malam tadi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata dalam serbuan itu 12 warga Myanmar iaitu lapan lelaki dan empat wanita gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, setiap PATI dikenakan bayaran sehingga RM5,000 seorang dan bayaran hanya perlu dijelaskan selepas mereka berjaya memasuki Malaysia dan memperoleh pekerjaan.