Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh kedudukan negara dalam landskap kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber menerusi pembangunan bangunan baharu Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Bangunan itu dijangka siap pada hujung November 2026 dan sedia memulakan operasi pada awal Januari 2027. Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, projek berimpak strategik itu bukan sekadar menyediakan ruang akademik moden dan canggih semata-mata.

“Sebaliknya, ia mencerminkan komitmen UTeM untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi kritikal yang semakin menjadi keperluan utama negara, khususnya ketika dunia berdepan ancaman siber semakin kompleks dan transformasi digital yang pesat,” ujarnya.