KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat ketara kepada 1,110 orang daripada 392 keluarga pagi ini berbanding 191 orang daripada 58 keluarga petang semalam, manakala Selangor mencatatkan sedikit penurunan.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Larut, Matang dan Selama kembali dilanda banjir dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 282 orang.
Ia diikuti Dewan Orang Ramai (DOR) Sungai Relong (93 orang), Masjid Ali Rouse Kampung Ulu Sepetang (91), Dewan Changkat Larah (73), SK Batu Hampar (71), DOR Kampung Simpang Halt (59), SK Matang Gelugor (58), Dewan Serbaguna Taman Kaya (56), SK Matang (49), Masjid Al Wusta (41), Masjid Al Hidayah (25) serta DOR Air Kuning, Asam Kumbang (13).









