KUALA LUMPUR: Permohonan pas pelajar lelaki warga Nigeria yang menetak tangan anggota polis hingga putus di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, dekat sini bagi tujuan menyambung pengajian di Malaysia masih 'tergantung' sejak 10 Oktober 2017.

Ia berdasarkan semakan dilakukan terhadap nombor pasport lelaki berusia 32 tahun itu yang tular di media sosial, menerusi portal rasmi Education Malaysia Global Services (EMGS).

Sebelum ini, Jabatan Imigresen mengesahkan semakan pihaknya mendapati lelaki itu memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018, sebelum pasportnya tamat tempoh pada 2020.

Sementara itu, carian BH menerusi sistem EMGS memaparkan status Pending Additional Document from Institution atau menunggu dokumen tambahan daripada institusi pendidikan.