KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) boleh disenarai hitam daripada pengambilan pelajar asing baharu sekiranya gagal melaporkan mengenai status pelajar antarabangsa yang berdaftar di institusi masing-masing 'hilang' atau tidak menghadiri kuliah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata ia mengambil kira modus operandi warga asing yang tidak dinafikan cenderung untuk masuk pada mulanya secara sah termasuk menggunakan visa pelajar, namun terus tinggal negara ini secara tidak sah.
Tegas beliau, pihaknya bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa membuat naziran serta pemantauan mengenai status warga asing yang diluluskan pas pelajar dan jika ada kes tidak hadir belajar, maka menjadi tanggungjawab IPT untuk melaporkan kepada pihak Imigresen.









