Soalan (S): Bagaimana tahap kesiapsiagaan Malaysia menghadapi serangan siber semakin kompleks dan tersusun?
Jawapan (J): Malaysia sudah mempunyai asas pertahanan siber semakin kukuh melalui pembangunan dasar, penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber 2024. Ini menunjukkan keselamatan siber kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan negara, bukan lagi sekadar isu teknologi maklumat.
Bagaimanapun, tahap kesiapsiagaan sebenar masih berbeza antara organisasi. Institusi kewangan dan penyedia telekomunikasi utama mungkin mempunyai sistem pemantauan lebih matang, tetapi sesetengah agensi kerajaan, hospital dan institusi pendidikan masih berhadapan kekangan sumber, kepakaran serta keupayaan mengesan ancaman secara berterusan.









