Kuala lumpur: Ibu bapa tidak seharusnya menganggap sakit perut teruk yang berulang dalam kalangan anak kecil sebagai sekadar masalah sakit perut biasa kerana ia mungkin petanda intususepsi, iaitu keadaan kecemasan usus yang serius dan memerlukan rawatan segera.

Penolong Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perubatan Kecemasan di Sunway Medical Centre, Sunway City Dr Nur Elayni Borhan berkata, walaupun keadaan berkenaan agak jarang berlaku, ia tetap merupakan satu kes kecemasan pediatrik yang perlu diberi perhatian.

"Intususepsi ialah keadaan apabila sebahagian usus masuk atau tersisip ke dalam bahagian usus bersebelahan, seolah-olah teleskop yang dilipat ke dalam dirinya sendiri. Keadaan ini menyebabkan usus tersumbat dan boleh menekan salur darah yang membekalkan darah ke bahagian usus berkenaan.