BERMULA dengan mengikuti kursus pengendalian makanan, Nurul Diana Yusuf, 40, kini menyimpan impian lebih besar untuk mengembangkan perniagaan sendiri termasuk membuka kedai makan di premis Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama).
Bagi ibu kepada tiga anak dari Temerloh, Pahang itu, peluang mengikuti Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) bukan sekadar memberinya sijil, malah menyuntik keyakinan untuk meneroka dunia keusahawanan yang sebelum ini tidak dirancangnya secara serius.
Menerusi kursus anjuran Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu, Diana memperoleh Sijil Pengendalian Makanan yang menjadi antara bekalan penting untuk mengembangkan perniagaannya, Diana Selera Pantai Timur.









