PETALING JAYA: TNB ThunderStars menutup kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 dengan kejayaan manis apabila dinobatkan juara liga meskipun tewas 1-2 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, Bangi, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan ThunderStars gagal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, namun ia tidak menjejaskan kedudukan mereka di puncak carta liga selepas mengumpul 31 mata.

Sebaliknya, kemenangan THT memastikan pasukan dari Pantai Timur itu mengesahkan kedudukan naib juara dengan 27 mata, ketinggalan empat mata di belakang ThunderStars.

Kapten ThunderStars, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berkata, kejayaan menjulang kejuaraan liga itu hadir hasil komitmen tinggi serta kerja keras semua pemain sepanjang musim ini.