JOHOR BAHRU: Biarpun kehilangan kaki kanan sejak berusia 12 tahun, seorang jurutera tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk menuntut ilmu di menara gading sehingga menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Graduan pasca siswazah dalam bidang Pengurusan Fasiliti itu, Dr. Mohd. Suharizal Mahamad, 49, berkata pesanan arwah ibunya, Allahyarham Che Yoh Hashim menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi.
Katanya yang juga Jurutera Kanan, Cawangan Aset Bersepadu di Jabatan Kerja Raya (JKR), dia kehilangan kaki sejak 31 tahun lalu akibat dipatuk seekor ular kapak yang menyebabkan kaki kanannya itu terpaksa dipotong sehingga ke paras bawah punggung.









