TUMPAT: Seorang surirumah perlu menjalani pembedahan menggantikan tulang sphenoid di bahagian mata kirinya yang menelan kos sebanyak RM5,500 bagi membuang ketumbuhan yang akan menyebabkan bebola matanya tersembul keluar.

Aida Norziana Adam, 42, berkata, dia akan menjalani pembedahan tersebut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, di sini pada 25 November ini dan memerlukan bantuan sebanyak RM2,000.

“Tulang sphenoid terletak di pangkal tengkorak, dibelakang soket mata. Ketumbuhan ini akan menekan saraf mata menyebabkan mata saya tersembul keluar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jelasnya, keseluruhan kos implan itu berjumlah RM5,500 dan sebanyak RM3,500 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan saudara mara.