KUALA TERENGGANU: Ladang cili milik TDM Agrobiz Sdn Bhd di Terengganu menjadi ladang cili pertama di Malaysia menerima pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), menurut syarikat induknya, TDM Bhd.

Sijil itu disampaikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri bagi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Zaini Abdul Rahman, dalam satu majlis di Wisma TDM, di sini.

Sijil berkenaan diterima Ahli Lembaga Pengarah TDM Agrobiz, Wan Aimi Yusri Wan Ismail dan Pengurus Besarnya, Ts Zharudin Narudin.

Pensijilan MeSTI yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengiktiraf pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan makanan mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa.