PENGALAMAN menjadi mangsa penipuan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) mendorong seorang pelajar untuk menghasilkan sesuatu bagi mengekang kegiatan jenayah itu.
Biarpun menuntut dalam bidang keselamatan siber, ia bukan 'lesen' untuk tidak menjadi mangsa penipuan khususnya ketika semua bentuk ancaman kini dikuasakan dengan AI.
Bagi pelajar tahun akhir Sistem dan Rangkaian Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), Min Han, 23, melihat bahawa insiden menjadi mangsa penipuan itu membuka matanya untuk menghasilkan sesuatu.
Bertitik tolak daripada kejadian itu, pelajar berkenaan mencipta platform pengesanan penipuan berasaskan laman web sebagai kaedah semak silang yang boleh digunakan.









