KELULUSAN premium RM1,000 bagi pajakan tanah sehingga 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menimbulkan persoalan mengenai asas penilaian, kuasa meluluskan serta prinsip kesaksamaan dalam pentadbiran tanah kerajaan.
Persoalan paling asas ialah bagaimana jumlah itu ditentukan, siapa mencadangkannya dan apakah peruntukan undang-undang menjadi sandaran keputusan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, ketika mengumumkan kelulusan pada 14 November lalu, turut menjelaskan beberapa perkara berkaitan penyelesaian yang diberikan kepada institusi berkenaan.
Berbanding angka terdahulu sekitar RM4.67 juta, premium diluluskan itu lebih rendah kira-kira RM4.669 juta atau 99.98 peratus. Jumlah bayaran awal ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran. Sewa tanah tahunan ialah RM3,151.









