KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak merancang mengehadkan akses perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan awam secara mutlak hanya kepada warga Malaysia, setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya mengakui sumber kewangan dan kapasiti sistem kesihatan awam adalah terhad dan perlu diutamakan kepada rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai dan penyumbang utama kepada pembiayaan sistem kesihatan awam negara.

Justeru menurutnya, dasar berkaitan penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh bukan warganegara sentiasa diteliti bagi memastikan ia tidak menimbulkan beban kewangan yang tidak wajar kepada kerajaan.

“Bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM adalah tertakluk kepada kadar caj dan syarat bayaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Mereka dikenakan caj tanpa subsidi di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014, yang secara amnya adalah berbeza daripada kadar dikenakan kepada warganegara.